|
AHLI perniagaan terkemuka Kedah, Dr Che Rozmey Che Din yang sebelum ini
sinonim dengan produk kesihatan Jus Mate 5, kini menceburi perkhidmatan
pembekalan kawalan keselamatan yang bernaung di bawah syarikat Kawalan
Keselamatan Sentral (M) Sdn Bhd.
Beliau yang selama ini terkenal dengan kerjaya kedoktoran dan memegang
jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing Sdn Bhd, Pakar
Perbidanan dan Sakit Puan serta Pakar Penyelidik Obesiti, berkata minat
mendalam dalam bidang kawalan keselamatan menyuntik semangatnya untuk
berkecimpung dalam sektor berpontesi itu.
Beliau yang kini menggalas tugas Pengurus Kewangan, Pentadbiran dan
Pemasaran untuk kawasan Kedah dan Perlis, berkata syarikat baru itu akan
melengkapkan perniagaannya merangkumi hospital swasta (Jitra Specialist
Centre), pembinaan hospital baru (Jitra Medical Centre), hotel dan
perniagaan kereta import.
Dengan reputasi perniagaan diceburinya selama ini, beliau kini lebih
yakin menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan bagi melengkapi
rangkaian perniagaan bersama Pengurus Terlatih Operasi, Wan Ismail Wan
Ishak yang pada awalnya memulakan operasi kawalan keselamatan lima tahun
lalu secara sederhana di Kampung Kubang Lembu, Jalan Paya, Jitra, Kedah.
Sejak operasi penyediaan kawalan keselamatan beroperasi di tempat lama,
ia mendapat perhatian sektor perkilangan, perladangan, syarikat dan
organisasi korporat tempatan sehingga Dr Che Rozmey membuat keputusan
berganding bahu dengan Wan Ismail.
Kini, Markas Tax Utara yang dulunya di Jalan Paya, Jitra berpindah ke
Wisma JSC Bandar Darulaman Jaya, Jitra, Kedah bagi menyediakan
pentadbiran dan pengurusan lebih baik.
"Kawalan keselamatan disediakan lebih baik, menepati tahap dan
fleksibel mengikut cita rasa dikehendaki pelanggan.
"Dengan peralatan logistik yang cukup perspektif yakni empat unit van,
tiga kenderaan salun untuk unit peronda pos keselamatan serta motosikal
berkuasa tinggi yang ditugaskan untuk mengiringi golongan VIP, kami sedia
memikul tanggungjawab. Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran,"
katanya.
Katanya, syarikatnya turut dilengkapi pelbagai unit senjata bagi
perkhidmatan menempatkan pengawal di bank, kedai emas dan premis
persendirian.
Untuk perkhidmatan tambahan, mereka turut menyediakan unit anjing untuk
tujuan kawalan di kediaman orang kenamaan.
Dr Che Rozmey berkata, beliau kini memberi fokus utama dalam pengurusan
gaji, elaun, dan kebajikan anggota bagi memastikan perkhidmatan
berkualiti.
Katanya, perkhidmatan tambahan seperti kawalan bersama atau tanpa
senjata api, pengawal CIT (Cash In Transit), perkhidmatan iringan orang
kenamaan serta penyiasat persendirian turut disediakan.
(END)
|