Datuk Dr Rozmey yakin 2 Alam mampu pecah panggung
JITRA, 5 April (HPM) – Banyak cakap-cakap yang mengatakan bahawa filem sulung terbitan penerbit baru ini tidak akan sampai kemana. Namun, ini tidak bagi pemilik produksi filem 2 Alam ini kerana baginya masih ada yang menghargai dan menilai hasil seninya ini dengan nilai yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM), Datuk Dr Che Rozmey Che Din (DDR) berkata, penilaian golongan ini sangat bermakna kepada dirinya. Mereka ini bukanlah insan biasa yang tidak mempunyai ilmu mengenai bidang filem, tetapi mereka merupakan golongan media yang selalu mengkritik filem lain selain filemnya itu.
“Setelah doktor menghadiri sidang media di Singapura 1 April lalu, doktor tidak sangka bahawa mereka semua sememangnya menantikan filem 2 Alam ini. Mereka cukup menghargai hasil seni dari doktor dan produksi kerana mereka percaya, filem ini mampu pecah panggung nanti.
“Warga Kota Singa ini juga turut mengucapkan terima kasih kepada doktor kerana membawa 2 Alam ke sana dan mereka pasti filem ini boleh menandingi kehebatan filem antarabangsa,” ujar DDR yang selesa menggunakan ganti nama doktor ini.






