JITRA, 5 April (HPM) — Filem 2 Alam terbitan dR Movie Production bakal mencipta sejarah perfileman tanah air kerana filem berprofil tinggi ini menghidangkan aksi, dialog dan sinema grafik yang mampu memberi kepuasan mutlak kepada penonton.
Penerbit filem 2 Alam, Datuk Dr Che Rozmey Che Din (DDR), berkata ramai yang memberi maklum balas positif selepas tersiarnya promo filem 2 Alam di laman sosial beliau.
“Rata-rata di antara mereka terkejut dan kagum akan kehebatan karya berkenaan yang mampu mengembalikan kilauan emas filem tanah air.
“Ini terbukti akan kualiti yang dihasilkan dR Movie Production kerana 2 Alam merupakan acuan bangsa Malaysia yang menjanjikan tiada pelakon tangkap muat, tiada aksi serta dialog yang tidak sampai,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, jiwa penonton juga pasti meruntun dan tersentuh menerusi lagu keinsafan Kalimah Terakhir yang dinyanyikan oleh Papa Rock, Ramli Sarip yang dibawa secara eksklusif dalam 2 Alam.






