|
HERBA Prima Marketing Sdn Bhd kini semakin teguh apabila hasil jualan
produk Jus Diet Mate 5 (JDM5) keluarannya mendapat sambutan di luar
dugaan sehingga mencecah lebih RM1.5 juta sebulan.
Pengarah Urusannya, Dr Che Rozmey Che Din, berkata sebagai penghargaan
kepada pengguna, beliau akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara
untuk memberi khidmat nasihat selain mempromosikan JDM5 bermula di Alor
Star, Ogos depan.
Katanya, pengguna boleh membeli produk JDM5 selain berpeluang menjalani
pemeriksaan kesihatan percuma bersama beliau serta kakitangan Herba Prima
Marketing.
"Kita juga akan menjalani pemeriksaan berkaitan obesiti dan penjualan
JDM5, termasuk siri jelajah promosi di Sabah dan Sarawak.
"Sehingga ini, kita mempunyai 2,000 ahli serta pengedar JDM5 di seluruh
negara dan ia membuktikan produk ini mendapat sambutan menggalakkan,"
katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Jitra, Kedah.
Dr Che Rozmey berkata, syarikatnya juga akan membina sebuah kilang baru
yang lebih besar berbanding yang ada kini di Jitra dengan kos dianggarkan
bernilai RM15 juta.
Katanya, kilang itu dijangka siap sepenuhnya sekitar Jun 2009 dan
jumlah pengeluaran produk pula dijangka mencecah 30,000 kotak dengan
nilai jualan sekitar RM13.4 juta sebulan.
"Kita baru memasuki pasaran Brunei dan Singapura selain mendapat
permintaan tinggi dari Indonesia. Tetapi, saya belum bersedia untuk
memasarkan di peringkat global kerana mempunyai strategi sendiri.
InsyaAllah, produk JDM5 ini akan memasuki pasaran antarabangsa
selewatnya-lewatnya 2010 kerana saya perlu memperluaskan pasaran dalam
negara terlebih dulu," katanya.
Dr Che Rozmey yang juga Pakar Penyelidik Obesiti dan Pakar Perbidanan
dan Sakit Puan di pusat perubatan berkenaan.
Sementara itu, pengguna JDM5, Suzana Md Noor, 30, yang sebelum ini
mempunyai berat badan 230 kilogram (kg) kini memiliki berat 190 kg
manakala Mohd Lutfie Maidy yang dulu 113 kg, kini 92 kg.
Selain itu, Dr Rozmey turut memperkenalkan produk DR II yang dirumus
khusus untuk pengguna kesihatan dan penjagaan kulit.
"Produk DR II sesuai untuk semua golongan peringkat usia di samping
membantu mengatasi pelbagai masalah kulit dan alahan yang serius.
"Ia dihasilkan dalam perasa oren. Pengguna yang menghidap masalah
penyakit resdung juga boleh menikmati keenakan produk ini," katanya.
Katanya, pengguna boleh membelinya RM200 sekotak dan mereka yang
membeli pada harga RM450 secara automatik akan menjadi ahli seumur hidup
berpeluang membeli produk lain pada harga promosi.
Selain itu, katanya, pihaknya juga merancang membina sebuah klinik
obesiti bernilai RM35 juta di Hospital Pakar Jitra yang dijangka
beroperasi selewat-lewatnya tahun depan.
"Di klinik itu nanti, kita akan memberi khidmat nasihat dan kaunseling
serta cara pemakanan yang betul untuk membantu penghidap obesiti
mendapatkan bentuk badan yang mereka impikan," katanya.
Orang ramai seharusnya menjaga kesihatan dan digalak melakukan senaman
serta mengamalkan makanan seimbang bagi menghindarkan penyakit.
(END)
|